Ada Sesuatu Yang Menyelubungi Mindaku

I am on my lunch time and I have 10% on my iPad battery so I thought of writing something in Malay for a change.

Hari ini ialah 11haribulan Februari. 41 hari sejak tulisan aku yang terakhir. Bukan mudah untuk mencari ilham menulis ini. Kadang-kadang kau duduk tenung meja, tenung papan kunci, tenung segala alatan eletronik yang kau miliki yang membolehkan kau menulis tetapi kau tetap buntu. Namun dimindamu, masih ada sesuatu. Sesuatu yang menyelubungi, yang enggan pergi.

Aku masih teringat saat bersama bekas kekasihku.

Aku masih teringat kehidupan dahulu.

Aku rindu menjadi seorang pencinta, penyayang, di mana aku mampu mencurahkan rasa cinta dan kasih sayang ku mutlak pada seorang yang ku ingini sahaja.

Selepas beberapa bulan tersingkir dari kehidupan itu, aku berbicara dengan seorang rakan mengenai cinta.

Cinta yang murni, cinta yang agung, cinta yang suci tulus dari hati.

Aku ucap kata cinta dan aku sampaikan perasaan itu kepada seseorang. Dan bagiku, itu janji abadi. Kami sering kata, “Always, and forever”. Bahawa kita berjanji untuk mencintai satu sama lain buat selama-lamanya.

Bila kau jatuh cinta, tidak begitu mudah untuk kau ucapkan selama-lamanya. Dan bila kau cukup berani untuk mengucapkannya, kau langsung berjanji, bersumpah kepada dirimu sendiri, inilah dia, inilah insan yang kau akan simpan di dalam hatimu untuk selama-lamanya.

Tetapi, insan itu bukan seperti kau. Insan itu tidak berjanji kepada diri mereka meskipun dia mengatakan kata janjinya padamu.

Janji dengan diri sendiri ialah sesuatu yang paling penting.

Aku tidak suka mempermainkan dan memperlekehkan ucap janji mengenai cinta. Aku bodoh, bukan macam orang lain, boleh suka hati melepaskan nafsu ranjang dengan orang lain ketika menghancurkan hati orang yang mencintai mereka.

Tetapi aku juga bukan orang lain. Aku tidak tahu niat dan cara mereka. Aku tidak boleh mengharapkan mereka berjanji kepada diri mereka sendiri jika mereka tidak berani atau belum bersedia. Aku tidak boleh memaksa mereka berpegang kepada kata-kata mereka. Bukan semua orang tahu bagaimana untuk berpegang kepada kata mereka. Bukan semua orang mahu berpegang kepada kata mereka. Aku bukan mereka. Mereka bukan aku.

Aku fikir, jika aku sudah berjanji kepada diriku bahawa inilah cinta yang aku pegang buat selama-lamanya dan apabila gagal, adakah aku akan melanggar janjiku sendiri jika aku jatuh cinta sekali lagi untuk orang lain pula?

Atau mungkin selepas manifestasiku disampaikan ke seluruh alam maya, dunia juga akan melindungi kata janjiku dan tidak akan menemukanku dengan cinta lain seumur hidupku?

Kuasa bateri sudah kurang kepada 7%. Selama 3% yang lalu, aku sudah menceritakan perihal kata janji cinta.

Kini, tiba untuk kukongsikan apa yang aku rindu.

Aku rindu menyayangi. Aku rindu disayangi.

Aku rindu berkongsi setiap saat hidupku dengan orang yang kucintai.

Aku rindu mendengar setiap keluhan dan rintihan insan yang kusayangi sepenuh hati.

Aku rindu membuat keputusan bersama-sama.

Aku rindu berkongsi impian untuk berjaya.

Aku rindu kehidupan bersama si dia.

Dan aku paling rindu diriku sebagai pencinta.

Bukan mudah untuk bermadah kata dari hati yang lara.

Setiap rangkap perenggan beratnya terasa di dalam dada.

Pada penghujung nukilan kata yang sedikit demi sedikit berbentuk irama,

aku memohon pada Yang Esa,

Berikan aku cinta yang luar biasa.

Kerana kalau biasa, selalunya hati ini dipijak hancur berderai oleh semua.

Leave a comment